10 Sebab Kenapa Doa Kita Tidak Dimakbulkan
Hari Jumaat lepas, saya berpeluang mendengar takzirah daripada ustaz jemputan di Wisma Nurraysa selepas selesai bacaan Yasiin. Seperti kebiasaan, kami akan mengadakan bacaan Yasiin dan mendengar tazkirah daripada ustaz atau tayangan video ceramah dari ustaz-ustaz terkemuka.
Tazkirah kami pada pagi tersebut mengenai bulan Ramadhan dan ustaz menyentuh mengenai doa yang tidak ditolak. Seperti mana yang kita tahu, doa yang tidak akan ditolak pada bulan Ramdhan adalah doa sebelum berbuka puasa. Kita tahu fadhilat doa sebelum berbuka puasa mustajab dan kita berlumba-lumba untuk berdoa untuk memohon perkenankan hajat kepada Allah SWT.
Apa yang saya paling terkesan apabila ustaz beritahu, doa kita pun ada musuh. Saya tergamam sebentar. Dalam hati saya berkata, “Doa pun ada musuh ke?” Saya mendengar dengan tekun sambil mencatit point-point penting supaya tidak terlepas ilmu yang bermanfaat ini.
Ustaz beritahu ada 10 sebab kenapa doa kita tidak dimakbulkan. Kita selalu berdoa minta apa yang kita hajati itu tercapai, tetapi sampai sekarang tak dapat-dapat lagi. Jom saya kongsikan sebab-sebab kenapa doa kita tidak dimakbulkan dan kita check semula amalan sebelum-sebelum ini yang mungkin kita terlepas pandang dan perbaiki mulai sekarang.
Seorang ahli sufi yang sangat masyhur bernama Ibrahim Adham pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah di Iraq.
“Mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah SWT pada hal kami selalu berdoa?”
Ibrahim Adham menjawab, “Doa tidak dikabulkan kerana hati kamu telah buta (mati).”
Lalu ditanyakan lagi, “Apa yang boleh mematikan hati?”.
Beliau menjawab, “Ada sepuluh perkara, iaitu:
- Kamu mengetahui hak Allah SWT tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
- Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak berusaha beramal dengannya.
- Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah ﷺ tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
- Kamu mengecapi nikmat Allah SWT tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
- Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
- Kamu mengaku adanya syurga tetapi kamu tidak beramal untuknya.
- Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak menghindari darinya.
- Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
- Kamu sibuk mencari dan memikirkan kesalahan dan keburukan orang lain, tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.
- Kamu kebumikan jenazah saudaramu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya
Inilah antara sebab kenapa doa kita tidak dimakbulkan. Semoga kita sempat bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT atas kelalaian diri sendiri selama ini.
Jom jadikan Ramadhan ini titik tolak kita untuk transform ke arah yang lebih baik. Inshaa Allah.
Comments
Post a Comment