12 Cara Tangani Situasi Manusia Negatif

Biawak-biawak memiliki lidah yang bertoksik dan air liur yang beracun. Secara analoginya, manusia yang berperangai seperti biawak, seringkali menimbulkan suasana yang kecoh, dan melampaui batas kesabaran manusia lain dengan kata-kata dan perbuatan yang toksik dan beracun! Umpamanya, merendah-rendah, memperlekeh, menyindir secara melampau, menjatuhkan semangat, dan tidak percaya akan kebolehan orang lain. Mereka selalu menimbulkan stres dan rasa tak selesa pada orang lain.
Stres yang terhasil inilah yang akan memberikan impak jangka panjang kepada otak dan emosi. Dan sudah pastilah hal ini tidak membawa kebaikan pada kerjaya, kehidupan, mahupun perniagaan. Sesiapa saja tak terkecuali daripada virus biawak ini. Mari kita ambil contoh daripada usahawan-usahawan berjaya yang mengawal stres mereka dengan 12 cara menangani situasi manusia biawak ini.
1. Tetapkan had maksima
Pernah dengar ‘kesabaran ada had’? Bukan kesabaran saja yang perlu ada had. Sifat empati, kasihan, dan baik hati juga turut perlukan had maksima – lagi-lagi bila ianya berkaitan dengan manusia-manusia biawak ini. Mereka biasanya akan bermula dengan komplen-komplen dan rungutan yang mahukan perhatian dari anda. Atas alasan kasihan, dan sebagai pendengar yang baik, anda biarkan diri anda tertimbus dalam emosi negatif mereka, dan adakalanya anda turut hilang fokus anda. Tetapkan had anda. Anda boleh dengar, tapi anda tak boleh masukkannya dalam kepala. Anda boleh dengar, tapi anda tak boleh turut sama berminda negatif. Jika anda tak mampu nak berbuat demikian, jangan dengar, dan jangan ambil tahu hal mereka.
2. Hidup bukan untuk sehari
Emosi anda, anda saja yang mampu kawal. Jika anda tenggelam bersama emosi, dan terjun dalam perbalahan atau pergaduhan yang tak berkesudahan bersama mereka, anda akan kalah. Anda tak akan menang berhujah dengan orang yang jahil. Anda perlu tahu bila dan kenapa anda perlu abaikan mereka, dan teruskan hidup anda untuk kejar cita-cita anda. Ingat, masa hidup anda terlalu berharga untuk dibazirkan dengan respon pada sesuatu yang tidak bermanfaat.
3. Bangkit naik dan terus naik
Melayan kerenah dan komplen orang tak akan pernah habis. Lebih baik anda jauhkan diri dari mereka dan fokus pada matlamat anda. Berhenti cuba puaskan hati orang lain. Tak perlu kisah tentang khabar angin, anda hanya perlukan fakta dan results.
4. Peka dengan emosi sendiri
Untuk menjauhkan diri dari sumber negatif sebegini, anda perlu peka dengan keadaan dan takat didih (boiling point) emosi anda. Bila anda tahu dan peka tahap anda di mana, anda pasti lebih mudah untuk ambil langkah berjaga-jaga.
5. Wujudkan batas kawalan
Ada orang rasa bila mereka berada dalam sesebuah kelompok atau organisasi, selagi mereka bukan yang teratas, mereka tak punya kuasa untuk mengawal atau mengubah sesuatu. Atau bila berhadapan dengan sesuatu situasi yang ‘biasa’ berlaku, anda rasa anda tak akan mampu atau tak boleh nak ubah perkara tersebut. Percayalah, anda punyai kuasa untuk kawal semuanya yang berkaitan dengan anda kecuali mati. Ada caranya. Bagaimana? Anda kena tahu bila waktunya anda perlu fight untuk diri, bila waktu untuk diam, dan bila waktu untuk abaikan.
6. Kegembiraan anda, bukan hak mereka
Bila anda benarkan diri anda terlalu mengambil kisah akan pandangan orang lain, waktu itulah anda akan kehilangan kuasa dalam mengawal kegembiraan anda. Jika anda rasa apa yang anda lakukan memberikan kepuasan dan kegembiraan pada anda, anda patutnya menghargai momen tersebut dan tidak mengendahkan kata negatif orang sekeliling. Anda tak perlu nak banding-bandingkan diri anda dengan mereka.
7. Fokus pada solusi, bukan masalah
Apa yang anda fokus menentukan emosi anda. Anda fokus pada masalah, emosi anda terganggu. Anda fokus pada jalan penyelesaian, anda akan lebih bersemangat. Jika anda perlu berinteraksi dengan mereka sekalipun, jangan fokus pada cerita negatif tersebut. Sebaliknya, fokus pada nilai dan manfaat yang anda nak sebarkan pada mereka.
8. Memaafkan tapi tidak melupakan
Ada benda yang kita perlu lupakan, dan ada benda yang kita perlu ingat. Anda boleh memaafkan mereka yang menipu anda, tapi anda tak seharusnya melupakan perkara itu, demi kesejahteraan anda. Jika anda lupa, barangkali anda akan beri peluang lagi kepadanya untuk melakukan penipuan. Anda perlu terus maju ke hadapan, sambil ingat akan pengajaran tersebut. Anda perlu memaafkan mereka yang mencaci anda, tapi anda perlu ingat apa yang mereka katakan, jadikan ianya sempadan dan elakkan dari melakukan apa yang diperkatakan.
9. Buang cakap-cakap negatif dalam diri
Kadangkala anda secara tak sengaja menyimpan memori tentang apa yang mereka katakan tentang anda. Dan pemikiran itu secara tak langsung sedang memakan diri anda, jika anda layankan. Minda kecil anda adalah poin penting dalam membantu sama ada menurunkan atau meningkatkan tahap negativiti itu. Jadi, bukan saja persekitaran luaran anda yang penting tapi juga permainan minda anda perlu positif.
10. Kafein? Kurangkan
Kafein meningkatkan hormon adrenalin dalam tubuh. Ianya ibarat memberikan pilihan ‘fight or fight’ dalam otak anda. Respon dan mekanisma survival ini membuatkan anda berfikir terhadap sesuatu dengan pantas. Ianya sangat perlu jika anda sedang berhadapan dengan seekor harimau atau seekor beruang di hutan tapi, jika situasinya ialah hanya seorang pekerja yang lembab mahupun seorang keyboard warrior yang sinikal, ianya pasti bukan pilihan terbaik anda.
11. Tidur
Tidur yang cukup meningkatkan tahap kebijaksanaan dan menurunkan tahap tekanan dalam diri. Minda anda di cas semula sewaktu tidur, menyusun memori anda dan menjadikan anda lebih segar dan bertenaga selepas itu. Tanpa tidur yang cukup, sistem kawalan minda, diri, perhatian dan kecekapan memori akan terganggu yang menjurus pada pertambahan stres. Anda mahu lebih kreatif, positif, inovatif dan proaktif? Pastikan tidur anda cukup.
12. Manfaatkan tulang belakang
Apa guna ada tulang belakang jika tidak dimanfaatkan. Anda memang akan rasa andalah orangnya yang perlu lakukan semua sekali sendiri. Andalah yang perlu hadapi manusia biawak ini sendirian. Tidak. Anda ada tulang belakang yang sentiasa menyokong anda. Jadi anda perlu beri mereka ruang untuk bantu anda, dan bersedia untuk dibantu. Bercakap dengan mereka kerana mereka selalunya mempunyai jalan penyelesaian dan pandangan lebih jelas yang tak dikaburi emosi bila berhadapan dengan situasi sebegini.

Comments

Popular posts from this blog

4 JENIS MINYAK WANGI PALING MAHAL DI DUNIA

FOUNDER NURRAYSA